Friday, September 30, 2005

Panduan amalan sempurna berpuasa

Bicara Kalbu: Panduan amalan sempurna berpuasa

Jadual harian teratur permudah laksana ibadah

SAYA baru memeluk Islam dan kali pertama akan berpuasa pada Ramadan. Saya ingin sekali berpuasa dengan sempurna, apakah ada mekanisme tersusun demi kesempurnaan ibadah puasa saya
Norhikmah Lee Abdullah,
Kuala Lumpur

Jawapan,

Alhamdulillah, Allah memberi hidayah Islam kepada adik. Secara ringkas saya tuliskan diari Muslimah sehari pada Ramadan.

Mulakan diari seawal jam 4 pagi jika mampu.

Pagi: Bangun berdoa kepada Allah dengan doa: “Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan aku setelah Dia mematikan aku, kepada-Nyalah aku akan dikembalikan.”

Berniat untuk melaksanakan sebanyak-banyak kebaikan hari itu.

Mandi dan membersihkan diri. Mengambil wuduk dan memakai pakaian yang suci untuk beribadah, berwangi-wangian.

Solat sunat taubat. Selepas sembahyang memohon ampun kepada Allah. Menangislah menyesali dosa.

Solat sunat tahajud.

Solat sunat hajat.

Solat sunat witir. Selepas salam, bangun lagi dan sembahyang witir satu rakaat.

Perbanyakkan berdoa kepada Allah dengan penuh rasa kehambaan, rendah diri, meminta-minta dan merintih-rintih, agar Allah ampunkan dosa, terima taubat dan amalan kita serta memperkenankan doa dan permintaan kita.



5 pagi

Bersedia untuk bersahur dengan berniat dengan niat lengkap maksudnya: “Saja aku puasa esok hari menunaikan fardu Ramadan pada tahun ini kerana Allah Taala.”

Bersiap menunggu waktu Subuh dengan membaca al-Quran atau berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Sembahyang sunat Subuh, sembahyang Subuh berjemaah dan selesaikan wirid harian atau baca al-Quran hingga terbit matahari.

Elakkan tidur selepas Subuh kerana waktu itu adalah waktu paling berkat untuk memulakan pekerjaan.



7 pagi

Membuat persiapan ke tempat kerja. Melangkah ke tempat kerja dengan membaca Bismillah dan berniat yang baik-baik.

Mulakan kerja dengan Bismillah dan doa kepada Allah agar semua kegiatan diberkati-Nya. Sentiasa berselawat sama ada menyebutnya atau dalam hati.

Banyakkan istighfar/meminta ampun.

Melaksanakan kerja dengan bersemangat dan penuh tanggungjawab. Datangkan rasa bahawa Allah sentiasa memerhati kerja yang dilakukannya dan yakinlah Dia akan membalas segala kebaikan kita.



10 pagi

Sembahyang sunat dhuha. Ia adalah sumber rezeki yang berkat kalau istiqamah diamalkan.

Penuhi masa rehat tengah hari dengan menambah ilmu atau membaca al-Quran. Elakkan daripada melakukan dosa walaupun kecil dan perkara yang sia-sia.



12.45 tengah hari

Bersiap untuk solat Zuhur.

Menunggu waktu sembahyang dengan berselawat. Solat berjemaah.

Laksanakan juga solat sunat Rawatib. Bersujud syukurlah selepas selesai sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima kasih kepada Allah yang memberi nikmat besar dapat menyembah-Nya.



4.15 petang

Bersedia untuk solat Asar. Solat Asar berjemaah. Laksanakan juga solat sunat Qabliyah.

Bersujud syukurlah setelah selesai sembahyang sunat dan wirid.



6.30 petang

Memperbanyakkan doa sebelum berbuka kerana pada waktu itu adalah masa yang mustajab doa. Ingatlah sabda Rasulullah: “Ramai orang yang berpuasa, yang mereka dapat hanya lapar dan dahaga.”



7 malam

Apabila masuk Maghrib, bacalah doa: “Wahai Tuhan, kerana Engkaulah aku berpuasa, kepada Engkaulah aku beriman dan dengan rezeki engkaulah aku berbuka.”

Berbuka puasa dengan makanan yang manis seperti buah kurma dan jangan makan terlalu banyak. Seeloknya setelah memakan kurma dan meminum air, terus menunaikan solat.

Maghrib berjemaah, seleoas itu baru makan makanan yang berat.

“Allahumma laka shumtu wa ala rizqika afthartu.” (Ya Allah untuk-Mu saya berpuasa dan dengan rezeki-Mu saya berbuka). (Riwayat Abu Daud)



8.30 malam

Solat Isyak secara berjemaah dan diteruskan pula dengan solat Tarawih

Baca al-Quran dengan penuh tawaduk, seelok-eloknya baca dengan bertadarus.



malam

Memperbanyakkan istighfar sebelum tidur. Berniatlah: “Saja aku berpuasa pada hari esok, untuk menunaikan puasa Ramadan yang wajib ke atasku, tahun ini kerana Allah Taala.”

Baca doa tidur: “Dengan nama-Mu ya Allah! Aku hidup dan mati.” Ingatlah tidur adalah mati yang sementara, kemungkinan kita dipanggil Allah ketika tidur.



JAWAPAN disediakan oleh Prof Madya Maznah Daud, pensyarah syariah di UITM Shah Alam. Layari www.Wanitajimceria.blogspot.com.

No comments: