Friday, October 28, 2005

Ketenangan hati boleh atasi keresahan jiwa

Ketenangan hati boleh atasi keresahan jiwa

SAYA adalah seorang usahawan muda yang baru beberapa tahun menjalankan perniagaan membaiki kenderaan. Akhir-akhir ini, perniagaan merosot, rakan kongsi menarik diri dan pelanggan semakin kurang. Pihak bank mula hendak menyaman kerana bayaran pinjaman tertunggak.

Saya semakin risau kerana jika perniagaan terus begini, lama-kelamaan akan tutup kedai. Bank akan menyeret saya ke mahkamah. Bagaimana, isteri dan anak hendak hidup. Bagaimanakah saya ingin hilangkan kemelut jiwa ini?

USAHAWAN MUDA,
Kuala Lumpur.

Memang benar apa yang saudara katakan. Ini adalah kemelut jiwa yang terhasil dari hati yang resah dan kurang yakin terhadap masa depan. Adat berniaga memang begitu. Ada masa lebat dan ada masa kering.

Ketika lebat, kita berjimat, sewaktu kering, kita bersabar. Saat bersabar ini memerlukan kekentalan jiwa dan hati yang pasrah.

Saudara yang berniaga sudah memahami selok belok perniagaan. Saudara lebih arif mengenai tips dan taktik dalam dunia perniagaan. Saya berpendapat apa yang saudara perlukan ialah tips untuk hati.

Segala keresahan dan kebimbangan berpunca dari hati. Kerana setiap perbuatan bermula dari hati. Begitu juga setiap kejayaan dalam apa bidang berpangkal dari hati. Jagalah hati agar tidak sekali kali mendahului sesuatu yang belum berlaku.

Firman Allah bermaksud : “Telah hampir datangnya janji yang telah ditetapkan oleh Allah, maka janganlah kamu meminta disegerakan.” (Surah an-Nahl, ayat 1)

Hari esok adalah adalah sesuatu yang belum tentu dan nyata. Mengapa kita mesti menyibukkan diri dengan hari esok, mencemaskan dengan kesempitan dan kemungkinan negatif yang bakal berlaku. Begitu juga memikirkan perkara yang akan menimpa, meramalkan bencana yang bakal mencelakakan?

Bukankah kita juga tidak tahu sama ada akan bertemu dengannya atau tidak? Kita tidak tahu adakah kita akan bertemu dengan kesusahan atau kesenangan pada esok?

Hakikatnya esok masih di alam ghaib dan belum berpijak di alam nyata. Tidak sepatutnya kita menyeberangi jambatan sebelum benar-benar berada di atasnya. Kita tidak pasti sama ada akan sampai ke jambatan itu atau tidak? Mungkin juga kita akan berhenti sebelum sampai di jambatan.

Mungkin juga jambatan itu hanyut dibawa arus sebelum kita sampai ke situ. Boleh jadi juga apabila kita sampai di jambatan itu dan boleh pula menyeberanginya!

Memikirkan masa depan dengan mengagak-agak dan membuka alam ghaib, kemudian kita hanyut dalam kecemasan yang hanya sangkaan adalah sesuatu yang tidak baik untuk hati dan keyakinan kita. Ini hanya angan-angan dan sangka buruk.

Itulah lumrah kehidupan. Ramai insan yang termakan dengan ramalan mengenai kelaparan, kemiskinan, wabak penyakit dan krisis ekonomi yang kononnya akan menimpa mereka. Pada hal, semua itu adalah sebahagian daripada hasutan was-was syaitan yang akhirnya menyesatkan manusia.

Firman-Nya bermaksud: “Syaitan itu menjanjikan (menakuttkan) kamu dengan dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah) dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan keji (bersifat kedekut), sedangkan Allah menjanjikan kamu (dengan keampunan daripadanya serta kelebihan kurnian-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 268)

Janganlah memaksa esok untuk hari ini. Sedarlah bahawa usia, nasib kita pada esok berada di tangan Allah yang Maha Berkuasa.

Gunakan hari ini sepenuhnya dan sempurnakan kerja hari ini dengan kesabaran dan kesyukuran. Hindarilah angan-angan dan prasangka yang kosong.

Sempena Ramadan, marilah kita berdoa, beristighfar selepas menghitung dosa masa lalu. Munajat kepada Allah agar Dia menunjukkan kita jalan penyelesaian terbaik.

PERSOALAN dijawab oleh Endok Sempo Mohd Tahir dan sebarang masalah dan pandangan layari www.wanitajimceria.blogspot.com

1 comment:

Unknown said...

Betul tu..apa pun kita kena sedar siapa pun kita,di mana kita berada,allah sentiasa ada bersama kita.jangan kita cuba menongkat langit sambil pasak terus kaki di bumi..semuanya termasuklah soal ketenangan semuanya datang dari allah ta'ala. Thanks.. good entri
Entri Terbaru Saya:
Kenapa Hidup Kita Tidak Tenang