Friday, May 08, 2009

Dilema Isteri Ditinggal Suami

Saya Nani dari Putrajaya. Saya seorang penjawat awam di sebuah Kementerian di sini. Masalah saya bermula bila suami saya curang dengan seorang GRO. Di sebabkan saya telah tahu rahsianya, dia telah menceraikan saya melalui sms. Dia meninggalkan saya dan 3 orang anak saya yang masih kecil tanpa sebarang berita dan nafkah. Puas sudah saya memujuknya untuk bertemu dan berbincang tapi sia-sia. Saya telah membuat aduan ke mahkamah syariah mengenai status penceraian saya malangnya dia langsung tak bekerjasama dan tidak datang ke mahkamah walaupun surat saman telah dikeluarkan. Saya tak kisah kalau dia nak gantung saya tak bertali masalahnya saya tak mampu hendak menanggung 3 orang anak saya yang berumur 7 tahun, 5 tahun dan 8 bulan. Gaji kasar saya RM2000 tapi dipotong RM1000 oleh koperasi disebabkan suami saya ada membuat pinjaman untuk perniagaannya. Bakinya yang tinggal RM1000 itu membuatkan saya tidak mampu untuk membayar sewa rumah, ansuran kereta, bayaran pengasuh, yuran sekolah anak mahupun susu, lampin dan makan seharian. Saya tidak pasti sama ada saya layak atau tidak mendapat bantuan fakir, tapi amat memerlukan pekerjaan secara part time iaitu waktu malam dan hujung minggu. Saya amat buntu sekarang sebab duit simpanan saya sudah hampir habis untuk menanggung perbelanjaan kami seharian.
Nani
Putrajaya
JAWAPAN:

Puan Nani yang dirahmati Allah swt,

Syukur Alhamdulillah kerana Puan masih lagi berdaya dan berfikiran waras untuk berbuat sesuatu untuk mengubah nasib Puan dan anak-anak.

Saya bersimpati dengan kisah hidup puan yang amat rumit. Berada dalam keadaan ”di gantung tidak bertali” serta masalah kewangan yang meruncing semestinya satu dugaan yang amat berat bagi puan. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya. Walau bagaimanapun kita harus terus yakin bahawa setiap dugaan itu ada hikmahnya dan Allah tidak akan menduga kita di luar kemampuan kita sebagaimana dalam surah Al Baqarah :284 yang bermaksud

”Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya......”.

Dari cerita puan, jelas suami puan telah mencuaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan ayah kepada anak-anak puan. Dari cerita puan juga, dapat disimpulkan bahawa Puan mempunyai 2 persoalan utama:

1. Status puan sebagai isteri yang bergantung tak bertali
2. Masalah kewangan yang menghimpit

Perceraian Puan melalui SMS harus dibuktikan kesahihannya, contoh; adakah sms suami berbunyi `saya cerai awak talak satu’. Jika ayat yang digunakan adalah secara kiasan, mahkamah perlu melihat kepada niat suami. Puan juga perlu pasti siapakah sebenarnya mengirim sms tersebut kepada puan.

Saya ingin mencadangkan agar puan memfailkan permohonan/tuntutan pengesahan perceraian di mahkamah, jika puan belum membuatnya. Jika puan telah memfailkan tuntutan, maka puan boleh melanjutkan tindakan seterusnya. Puan juga menyatakan bahawa surat saman telah dikeluarkan tetapi perlu dipastikan adakah saman dan pernyataan tuntutan tersebut berjaya diserahkan kepada suami? Jika gagal diserahkan, maka suatu tindakan perlu diambil untuk memastikan saman tersebut berjaya disempurnakan, sama ada secara serahan melalui bailiff mahkamah, iklan, penampalan etc. Terdapat juga peruntukan waran tangkap agar suami dibawa ke mahkamah. Ini adalah kerana kehadiran suami di mahkamah untuk menyelesaikan perkara ini.

Berkenaan penjamin/ansuran, puan boleh memilih beberapa cara untuk menyelesaikan sama ada diluar mahkamah atau di dalam mahkamah. Puan boleh berbincang dengan pihak bank sama ada dibenarkan untuk menukar nama penjamin atau suatu persetujuan direkodkan bersama. Untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi menampung keperluan persekolahan anak-anak dan mendapatkan nasihat dari aspek perundangan, puan boleh mendapatkan bantuan daripada Bantuan Sokongan Keluarga di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia di talian 03-8886 4800.

Diharapkan jawapan yang disediakan ini dapat membantu puan mencari jalan keluar dari kemelut ini. Saya mendoakan agar Puan sentiasa tabah menghadapi dugaan ini dan berbanyak-banyaklah mengingati dan memohon pertolongan daripada Allah kerana Dia adalah sebaik-baik Penolong dan Pemberi jalan penyelesaian.
Jawapan disediakan oleh Wanita JIM Kuala Lumpur.

No comments: