Friday, April 14, 2006

Bermunajat cara terbaik tentukan kesesuaian memilih calon suami

Bicara Kalbu: Bermunajat cara terbaik tentukan kesesuaian memilih calon suami

SOALAN: SAYA menghadapi masalah di antara keluarga dan masa depan. Semuanya bermula apabila saya berkenalan dengan seorang lelaki. Dia ingin mengambil saya sebagai isteri. Keluarganya menerima saya dengan baik.


Pada hari perkahwinan sepupu saya, ibu bapa menyuruh membawa teman lelaki ke majlis kenduri itu. Tidak diduga selepas hari itu, ibu bapa saya tidak sukakannya dengan pelbagai alasan.

Alasan teman lelaki saya kurang kacak, adakah itu menjadi faktor yang terlalu penting? Berpunca dengan alasan itu, timbul banyak lagi alasan lain.

Ibu bapa saya berjumpa bomoh, dukun dan orang tertentu, kononnya untuk menyelidik latar belakang teman lelaki saya. Jawapan yang saya terima amat mengecewakan. Ibu bapa menentang habis-habisan sehingga bapa sanggup mengeluarkan kata-kata akan membuang saya daripada keluarga jika meneruskan hubungan dengan teman lelaki itu.

Alasan yang diberikan, semua bomoh, dukun dan orang tertentu yang mereka jumpa mengatakan keturunan keluarga teman lelaki saya membela hantu. Tetapi, saya agak musykil dengan cerita ibu kerana kebiasaannya, lain yang orang kata, lain yang disampaikan. Sehingga kini, ibu bapa saya masih mempercayainya.

Buat pengetahuan, kami tiada masalah untuk berkahwin kerana kedudukan kewangan yang agak kukuh. Keluarga teman lelaki daripada golongan yang agak kuat beragama. Sehingga kini saya runsing dan seakan-akan tertutup hati untuk berkahwin disebabkan tekanan ini.

Gadis Dalam Dilema,
Puchong, Sekangor.

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Saya tidak mempunyai jawapan kepada masalah saudari. Apa yang digariskan hanya panduan yang difikirkan boleh diikuti berdasarkan gambaran masalah yang dikemukakan.

Pertama, berkaitan calon suami/isteri.

Calon terbaik untuk dibuat pasangan hidup ialah yang teguh berpegang dengan Islam. Asasnya ialah sabda Rasulullah SAW bermaksud wanita dikahwini kerana empat sebab iaitu cantik, kaya, keturunan baik-baik dan agama. Pilihlah yang beragama nescaya beruntung kedua-dua tanganmu (mendapat keuntungan dunia/akhirat).

Kedua-dua pihak yang hendak berkahwin dan ibu bapa mesti menerima dan meyakini bahawa inilah faktor yang terpenting dalam memilih jodoh.

Kedua, kepercayaan kepada bomoh/dukun dan seumpama.

Islam mempunyai garis panduan jelas dan tegas mengenai perkara ini. Mempercayai dan beriman dengan dukun adalah ditegah kerana ia adalah perbuatan syirik kepada Allah.

Tidak dinafikan ada pengamal perubatan Islam yang boleh merawat pesakit terutama yang berkaitan dengan gangguan spiritual dan makhluk halus.

Namun, mereka perlu dipastikan tidak melakukan perbuatan yang ditegah oleh syarak seperti berhubungan dengan jin dalam amalan perubatan mereka.

Lazimnya ini boleh ditentukan dengan melihat kepada cara hidup yang tidak menyimpang daripada Islam dan diketahui umum oleh masyarakat sebagai orang yang berpegang teguh dengan syariat Islam.

Ketiga, didampingi jin dan seumpama.

Memang jika ditanya kepada orang yang pakar dalam perkara ini, seseorang itu boleh didampingi oleh jin atau boleh mewarisinya daripada keluarga meskipun tanpa pengetahuannya.

Orang yang beriman akan sentiasa berlindung dengan Allah, pemilik dan penguasa segala makhluk di bumi ini, yang nyata mahupun ghaib.

Dalam surah an-Naas kita dianjurkan untuk memohon perlindungan daripada bisikan syaitan yang membisikkan keraguan, baik dari kalangan jin atau manusia.

Keempat, mencari kepastian terhadap dakwaan ibu bapa saudari.

Pandangan saya ialah dapatkan pandangan daripada pengamal perubatan Islam yang theqah (yang tidak diragui amalan Islam dan keperibadian mereka). Minta pandangan mereka apa yang perlu dilakukan demi menyelesaikan kekusutan ini.

Kelima, jangan berputus asa.

Jangan sekali-kali menutup pintu hati daripada hasrat untuk berumah tangga. Berkahwin adalah sunnah yang besar dan mohonlah kepada Allah supaya ditemukan jodoh yang baik.

Ada kalanya kita cenderung kepada seseorang, tetapi dalam pengetahuan Allah, dia bukan calon yang sesuai dengan kita. Maka, urusan dipersulitkan oleh Allah dengan meletakkan pelbagai halangan.

Namun, apabila ada halangan, tidak bermakna pilihan saudari tidak baik. Itu juga mungkin ujian yang disediakan oleh Allah untuk meningkatkan darjat kita di sisinya dan diberi pahala.

Keenam, mohonlah petunjuk kepada Yang Maha Mengetahui.

Kesimpulannya bermunajat (berdoa) kepada Allah yang mengetahui semua mengenai kita, apa yang baik dan tidak baik untuk kita.

Jawapan oleh Dr Hafidzi Mohd Noor, Universiti Putra Malaysia. Permasalahan dan pandangan hubungi wanitajim@jim.org.my

No comments: