Friday, April 28, 2006

Suami poligami kena bijak jaga perasaan madu

Bicara Kalbu: Suami poligami kena bijak jaga perasaan madu

? BAGAIMANA mengubat hati apabila suami menceritakan kebaikan madu dan hubungan intim mereka. Saya berasa berkecil hati tapi saya pendamkan saja. Bolehkah berikan sedikit nasihat dan tips memujuk hati sendiri dan melancarkan kembali keintiman hubungan dengan suami?


Isteri terkilan
Lumut, Perak

SOALAN yang ditanya bukan untuk suami mengamalkan poligami tetapi bagaimana berhadapan dengan kerenah suami berpoligami yang menceritakan kebaikan madu dan hubungan intim mereka.

Saya jangkakan hati puan memang sudah terluka kali pertamanya apabila suami berkahwin lain. Hati yang luka tadi tambah dilukai apabila suami tergamak menceritakan mengenai madu puan.

Ada yang perlu puan lakukan dan ada pula yang suami perlu lakukan.

Pada pihak puan, bersabar dan meredai suami berkahwin lain adalah jalan yang terbaik.

Anggaplah ia telah ditakdirkan dan pasti ada hikmah yang besar jika tidak sekarang, dan di kemudian hari.

Mengubat hati yang dikecewakan dengan memperbanyakkan sabar dan mengerjakan solat adalah formula terbaik untuk mencari ketenangan hidup dan kesejahteraan hati.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Amat menghairankan seorang Muslim itu, apabila diberi nikmat dia syukur, apabila ditimpa musibah dia sabar. Maka kedua-dua keadaan berkenaan memberi kebaikan kepadanya.”

Di pihak suami puan pula, beliau harus mempelajari hukum, adab dan akhlak orang yang berpoligami.

Mengikut hukum, beliau wajib bersikap adil dari segi agihan masa, sara hidup dan keperluan (bergantung kepada saiz keluarga).

Dari segi kasih sayang dan kecenderungan, tidak ada hukum syarak yang mewajibkan seorang suami cenderung sama rata terhadap isteri dari segi perasaan.

Namun dari segi tindakan dia tidak wajar melebihkan seorang daripada yang lain, apatah lagi memberi perhatian yang berlebihan. Inilah yang dikatakan adil terhadap isteri-isteri bagi suami yang berpoligami.

Berkaitan adab pula, suami tidak harus menceritakan kelebihan isterinya di hadapan isteri yang lain kerana ini akan menyebabkan timbulnya perasaan kecil hati.

Ini terutama sekali jika kelebihan itu adalah anugerah Allah SWT seperti kecantikan paras rupa dan kelebihan fizikal yang tertentu.

Namun jika si suami menceritakan sesuatu yang positif seperti isterinya kuat beribadat, rajin menuntut ilmu dan ringan tulang membantu jiran, maka anggaplah ini sebagai dorongan untuk berlumba-lumba ke arah kebajikan.

Sabda Nabi Muhammad SAW, “Tidak diharuskan iri hati sesama Muslim kecuali dalam dua perkara, seorang Muslim yang diberi harta lalu dia berbelanja pada jalan Allah dan kedua seorang Muslim yang diberi ilmu lalu dia memanfaatkan untuk ummah.”

Jika suami puan menceritakan perkara positif seperti ini, katakanlah puan amat setuju dan berdoa serta berusaha untuk mencontohi beliau.

Tetapi jika pujiannya adalah terhadap aspek fizikal seperti paras rupa, puan wajar menasihatinya supaya menghentikannya.

Sebagaimana puan menghormati dan menjaga perasaan isterinya yang satu lagi, puan juga harus menuntut suami supaya menjaga dan menghormati perasaan puan.

Suami perlu ingat tidak wajar menceritakan hubungan intim dengan isteri meskipun terhadap isterinya yang lain.

Terdapat amaran tegas dari Rasulullah SAW dalam hal ini melalui firman Baginda yang bermaksud: “Seburuk-buruk lelaki ialah dia menggauli isterinya kemudian menceritakan kepada orang lain.”

Ini bermakna urusan dalaman rumah tangga adalah rahsia yang tidak boleh didedahkan kepada orang lain termasuklah isteri jika dia beristeri lebih dari seorang.

Hukum adat telah sama-sama kita maklumi. Pepatah Melayu mengatakan 'sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi'.

Suami puan telah mendapat isteri yang baru. Maklumlah orang baru, lebih cantik dan lebih segar pada pandangan mata. Namun kecantikan bukanlah ukuran sebenar yang membahagiakan seorang suami.

Nasihat saya kepada diri dan kepada semua marilah kita memberi tumpuan kepada usaha mendandan hati kita supaya sentiasa cantik dan berseri. Hati yang bersih akan menyerlah pada wajah.

Tanyakan pada orang yang berpengalaman, di manakah letaknya kecantikan, percayalah mereka akan mengatakan kecantikan itu datangnya dari hati yang sejahtera.

Dalam pada itu, puan juga harus melihat apa sebenarnya yang tersirat di sebalik kata-kata suami puan itu?

Mungkinkah dia ingin puan lebih 'intim' dengannya? Mungkin selama ini saranan secara tidak langsung diutarakan kepada puan mengenai perlunya meningkatkan hubungan intim tidak diterima atau disedari puan.

Saya tidaklah menyalahkan puan, tetapi apa salahnya puan membaca buku yang memberi panduan bagaimana menyemarakkan hubungan suami isteri.

# Jawapan disediakan Dr Hafidzi Mohd Noor, pensyarah Universiti PutraMalaysia dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

INTI PATI:

# Mengubat hati yang dikecewakan dengan memperbanyakkan sabar dan mengerjakan solat adalah formula terbaik untuk mencari ketenangan hidup dan kesejahteraan hati.

# Seorang Muslim apabila diberi nikmat dia syukur, apabila ditimpa musibah dia sabar. Maka kedua-dua keadaan itu memberi kebaikan kepadanya.

# Dari segi kasih sayang dan kecenderungan, tidak ada hukum syarak yang mewajibkan seorang suami cenderung sama rata terhadap isteri dari segi perasaan.

# Suami perlu ingat tidak wajar menceritakan hubungan intim dengan isteri meskipun terhadap isterinya yang lain.

# Usaha mendandan hati perlu dilakukan supaya sentiasa cantik dan berseri. Hati yang bersih akan menyerlah pada wajah.

# Harus melihat apa sebenarnya yang tersirat di sebalik kata-kata suami.

# Perlu membaca buku yang memberi panduan bagaimana menyemarakkan hubungan suami isteri.

No comments: