Friday, December 21, 2007

Cinta perlu berlandaskan syariat

Bicara Kalbu: Cinta perlu berlandaskan syariat
Jawapan oleh Dr Hafidzi Mohd Noor
www.bicarakalbu.blogspot.com
SAYA selalu membaca jawapan terhadap beberapa persoalan cinta di kalangan remaja dalam ruangan ini. Saya membuat kesimpulan bahawa bercinta itu adalah haram. Benarkah kesimpulan saya ini.

Baru jatuh cinta,
Bandar Baru Bangi.


ISLAM adalah agama fitrah. Kasih sayang adalah sifat tabii yang dibekalkan Allah kepada manusia. Adalah fitrah semula jadi apabila lelaki dan wanita berkasih sayang antara satu sama lain atau istilah cinta yang digunakan pada hari ini.

Apabila Adam diciptakan dan diciptakan pula Hawa di sisinya, maka ketika Adam bertanya kepada Hawa, "Siapa kamu? Jawab wanita itu, Aku Hawa dan aku dijadikan untukmu, supaya engkau rasa tenang terhadapku." Adam dicipta dalam syurga yang serba lengkap dan sempurna, tetapi tetap memerlukan seorang wanita sebagai pelengkap kehidupannya.

Kesimpulannya, cinta adalah fitrah atau perasaan semula jadi. Cinta perlu dimeterai dengan perkahwinan seperti firman Allah yang bermaksud: "Dan dijadikan untukmu pasanganmu dan dijadikan antara kamu mawaddah (kasih sayang) dan rahmah (belas kasihan). Cinta ini hanya boleh dinyatakan melalui gerbang perkahwinan dan manfaat yang paling besar akan terbit daripada cinta sebegini." (Surah Rum, ayat 30)

Persoalan yang dilontarkan ialah bolehkah bercinta sebelum berumah tangga. Sebelum persoalan ini dijawab, ada baiknya jika istilah cinta itu dikupas. Menurut kamus kehidupan muda mudi hari ini, cinta itu membawa maksud menyatakan perasaan secara terbuka antara lelaki dan perempuan yang tidak punya sebarang hubungan kekeluargaan (halal nikah) dan kemudian memupuk cinta dengan keluar bersama, menghubungi satu sama lain sama ada melalui perbualan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel dan sebagainya.

Apakah batas syarak yang diletakkan pada cinta? Batas syarak itu ialah batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Lelaki dan perempuan tidak boleh berada secara berdua-duaan tanpa ditemani muhrim kerana apabila berduaan lelaki dan perempuan yang ketiganya ialah syaitan.

Lelaki dan wanita juga wajib menjaga aurat, akhlak dan adab pergaulan. Jika semua itu dijaga rapi, pakaian menutup aurat dengan sempurna, tidak berdua-duaan sehingga menimbulkan fitnah, menjaga adab tutur bicara, tidak melunak atau memanjakan suara hingga boleh menimbulkan keinginan pada sang lelaki, maka boleh saja lelaki dan perempuan bercinta sebelum berumah tangga.

Bagaimana caranya? Kita sedia maklum kehidupan hari ini kompleks dan menuntut persediaan diri yang mantap bukan saja dari sudut emosi tetapi juga kepemimpinan keluarga, keupayaan ekonomi, penguasaan ilmu, sebelum seseorang itu melangkah masuk ke gerbang rumah tangga.

Sudah tentu persediaan itu memerlukan masa. Contohnya, menyediakan keupayaan ekonomi. Seseorang itu mungkin terpaksa melanjutkan pelajaran di universiti selama empat tahun, selepas tamat pengajian, perlu mengumpul wang bagi melengkapkan keperluan untuk berumah tangga.

Dalam tempoh berkenaanlah cinta yang berputik antara dua insan perlu dipupuk dan perlu melalui syariat.

Jika keperluan untuk berjumpa, bertandang ke rumah keluarga perempuan ketika ibu bapanya ada di rumah, atau jika perlu untuk bersemuka di luar, pastikan pertemuan itu berlaku dengan kehadiran seorang teman yang dipercayai, sebaiknya muhrim.

Jawapan disediakan pensyarah Universiti Putra Malaysia, Dr Hafidzi Mohd Noor, dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang komentar boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

3 comments:

Srikandi Al-Quds said...

salam..
nk tanya sikit tentang ayat AL-QURAN nih.."Dan dijadikan untukmu pasanganmu dan dijadikan antara kamu mawaddah (kasih sayang) dan rahmah (belas kasihan). Cinta ini hanya boleh dinyatakan melalui gerbang perkahwinan dan manfaat yang paling besar akan terbit daripada cinta sebegini." (Surah Rum, ayat 30)
ana cari dlm tafsir x jumpa r..
boleh terangkan x??

uStAzAh HaFnA said...

cinta tu haram...cinta selepas kawin jer yang nikmat...banyak zina bila bercinta...zina hati...bahaya..ana tak percaya artikel ni...tak mungkin dua orang boleh bercinta sebelum kawin boleh jaga hati mereka dari di nodai...sedangkan untuk memikat,perlukan rayuan dan kata2 manis..semua tu lagha...

Al-Imam said...

bercinta sebelum berkahwin? elakkan jika belum terjebak, jika sudah terjebak, tidak mampu untuk meninggalkannya terus, maka ikut sahaja kata-kata artikel di atas, tapi sentiasalah berusaha untuk menjauhi zina hati dengan menjauhi percintaan (antara lelaki dan perempuan) sebelum berkahwin, walaupun anda sudah terjebak. berdo'alah, berusahalah dan bertawakkal lah kepada Allah s.w.t.
Jika sudah mampu (dari segi persediaan untuk berumah tangga), maka berusahalah untuk bernikah, dan jangan bertangguh lagi. Kebahagiaan cinta (dalam konteks antara lelaki dan perempuan bukan mahram)sebenar hanya dianugerahkan oleh Allah s.w.t. kepada pasangan yang telah bernikah, dan menjaga diri daripada terjebak dengan maksiat kecil mahupun besar sebelum dan selepas pernikahannya. cintanya kepada isteri hanya wujud kerana Cintanya kepada Allah s.w.t. yang subur, maka ini akan menjadi sebab cintanya bahagia. wAllahu 'alam